Selamat hari guru diucapkan kepada semua warga pendidik di Malaysia. Perlu
diingat, guru bermakna semua insan yang pernah mendidik insan lain samada
melalui pendidikan formal seperti di sekolah, institusi pendidikan, institusi
pengajian dan juga pendidikan yang tidak formal seperti pengajian pondok,
pengajian Al-Quran di rumah, tuisyen dan yang seangkatan
dengannya.
Teringat dimasa dahulu, sewaktu berada dizaman persekolahan,
kalau disebut sahaja perkataan "cikgu", pastinya ketakutan menyelubungi diri.
Namun, dengan didikan dan tunjuk ajar merekalah yang menjadikan manusia
benar-benar manusia. Kalau dilihat, kedudukan guru ini sebenarnya berada ditahap
yang paling tinggi kerana mereka bukan sahaja berperanan sebagai pendidik,
malahan sebagai pembentuk peribadi anak didik mereka sendiri. Sebagai contoh,
profesion perguruan ini amat berbeza dengan profesion lain, doktor misalnya yang
merawat pesakit, namun akan terhenti sahaja disitu apabila pesakitbya sudah
sembuh, tetapi guru menghasilkan pelbagai jenis manusia yang akan menghasilkan
pula generasi lain dibawah mereka. Disini sahaja dapat digambarkan betapa berat
dan mulianya tugas sebagai seorang guru ini.
Dalam sebuah cerpen yang
pernah memenangi tempat ke2 pertandingan cerpen hari guru peringkat negeri
sarawak 2008 (penulis cerpen merupakan warga SK Saint Anthony Bintulu), terdapat ungkapan "teachers
produce human". Kalau dilihat makna ungkapan tersebut dengan lebih mendalam,
kita akan tahu bahawa gurulah yang akan mencorakkan segala jenis manusia di muka
bumi ini melalui pendidikan dan pengajaran yang sempurna.
Namun, dewasa
ini, sering didengar keadaan yang mana masyrakat agak memandang serong dengan
persepsi yang kurang enak didengar berkenaan dengan profesion perguruan ini.
Tidak dinafikan bahawa guru juga melakukan kesilapan, kesalahan dan kekhilafan
kerana guru juga merukan khalifah dan insan biasa yang daif sama seperti
insan-insan lain.Namun, hakikatnya kerana setitik nila yang dititikkan oleh
segelintir golongan pendidik ini, maka setempayan pendidik lain juga menerima
tempiasnya.
Disinilah yang ingin dilihat, dimanakah kedudukan guru kini?
Dibandingkan dengan masa dahulu, guru ini dipandang tinggi oleh masyarakat,
ibubapa menghantar anak-anaknya ke sekolah dengan penuh harapan dan memberikan
kepercayaan sepenuhnya kepada guru. jika kini, dapat dilihat guru hanyalah satu
profesion biasa sahaja seperti profesion lain. masyarakat menganggap, tugas
mereka hanyalah mengajar, tidak lebih dari itu.
Tema Hari Guru
tahun ini GURU MALAYSIA : 1ASPIRASI, 1AGENDA menampakkan agenda membina tamadun negara
melalui proses pendidikan yang menjadi nadi pembangunan negara kita di masa akan
datang.
Cabaran guru masa kini berhadapan dengan masalah kecelaruan
sosial masyarakat yang bermula daripada institusi keluarga yang ampuh dan
longlai. Apabila institusi keluarga sejahtera, bahagia gagal dibentuk, maka
pembinaan individu manusia menjadi tidak seimbang.
Ini mengakibatkan
guru-guru terpaksa terlebih dahulu menangani 'masalah sikap' dan membentuk
peribadi para pelajar sebelum meneruskan proses penyampaian ilmu dengan pelbagai
medium dan kaedah bersesuaian.
Selain itu proses membentuk daya tahan
dan membangunkan sistem imuniti melalui aspek penerapan 'akidah' dan kefahaman
terhadap agama serta akhlak merupakan cabaran para guru. Ini adalah kerana dunia
ledakan maklumat tanpa sempadan (IT) seringkali membuka ruang dan peluang untuk
anasir-anasir negatif masuk dan menusuk minda anak-anak muda kita. Guru-guru
dengan wibawa yang tersendiri mampu melatih pelajar dalam mewujudkan daya saing
yang ampuh bagi mendepani segala anasir dan unsur-unsur negatif yang berleluasa.
Segala cabaran kehidupan yang dipengaruhi aspek teknologi serta
pengembangan ilmu pada hakikatnya akan mendatangkan kesan positif secara
menyeluruh sekiranya fokus dan halatuju adalah berdasarkan konsep yang telus.
Allah telah berfirman dalam Surah Al-Asr, yang bermaksud: "Demi masa,
sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan
beramal soleh, dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan
kesabaran."
Akhir kata, dimanakah kedudukan guru hanyalah ditentukan
oleh oleh insan-insan yang tahu bahawa siapakah diri mereka, dimanakah diri
mereka, kemanakah diri mereka, tanpa insan yang bergelar "GURU"..
belum
terlambat lagi kiranya diberikan ucapan penghargaan kepada semua guru di
Malaysia di atas segala komitmen membentuk masyarakat Malaysia supaya menjadi
insan yang berperibadi dan luhur tinggi. Anjakan paradigma terhadap peranan
mendidik masyarakat perlu dijadikan satu agenda pelaksanaan yang menyeluruh
kepada semua warga Malaysia, agar agenda 'mendidik anak bangsa' tidak hanya
diletakkan di bahu para guru semata-mata.
(nukilan hanyalah pendapat dan
pandangan peribadi penulis semata-mata)
Wednesday, 15 May 2013
GURU....Dimanakah Kedudukannya....??
12:50
No comments
0 comments:
Post a Comment